Tuesday, June 10, 2014

MH370: Australia lantik firma Belanda kendali kajian pemetaan dasar laut










SYDNEY: Australia hari ini melantik firma Belanda, Fugro Survey Pty Ltd untuk menjalankan kajian pemetaan dasar laut sedalam 6,000 meter di zon pencarian pesawat MH370.

Langkah itu disifatkan penting bagi meneruskan pencarian yang dijadualkan bermula pada Ogos tahun ini. 



Sebelum ini, misi pencarian selama beberapa bulan gagal menemui sebarang kesan pesawat Boeing 777 itu yang hilang pada 8 Mac lalu ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal sebaik berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

Penyiasat berkata, berdasarkan kepada bukti yang sedikit, mereka berpendapat kapal terbang itu sengaja dialihkan laluan beribu-ribu kilometer daripada laluan asal sebelum dikatakan terhempas di Lautan Hindi.

Fasa baharu pencarian akan diserahkan kepada tentera kepada firma swasta itu dijangka bermula pada Ogos dan mengambil masa sehingga setahun membabitkan kawasan kira-kira 60,000 kilometer persegi di lautan yang menelan belanja AS$60 juta atau lebih.

Setakat ini, misi pencarian berkenaan adalah yang termahal dalam sejarah penerbangan.

Sehubungan itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memilih firma Belanda, Fugro untuk mengendalikan kajian pemetaan dasar laut sebelum fasa pencarian boleh dimulakan. 
"Kajian batimetri itu akan merangka pemetaan dasar laut dalam zon pencarian, carta kontur, kedalaman dan komposisi dasar laut pada kedalaman 6,000 meter.

"Kajian ini akan memberikan maklumat penting bagi membantu merangka pencarian dasar laut bagi MH370 yang dijadualkan bermula pada Ogos ini," kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan hari ini.

No comments:

Post a Comment